PENDIDIKAN ISLAM bermaksud memberi pendidikan kepada
anak-anak atau murid-murid/pelajar berdasarkan ajaran Islam. Mendidik juga bermaksud mengasuh, menjaga dan
membelai supaya seseorang anak itu menjadi baik. Baik di sini tentulah baik pada pandangan
Islam. Ilmu pengetahuan yang diberi itu
ialah suatu wadah dalam pendidikan.
Justeru ilmu belum tentu mendidik, dan memberi ilmu juga belum tentu lagi memberi pendidikan.
Mendidik ialah
kata-kata nasihat supaya murid melakukan sesuatu yang baik. Menasihati murid supaya melakukan suruhan
Tuhan seperti solat, beradab dengan ibu bapa dan guru adalah pendidikan. Menasihati murid supaya belajar dengan baik
dan tekun adalah pendidikan. Menjaga
kebersihan diri, bilik darjah, kawasan sekolah, kantin, padang adalah tuntutan
Islam. Kekemasan diri, bilik darjah,
kawasan rumah, juga tuntutan
Islam. Menasihati pelajar atau murid
melakukan semua ini ialah pendidikan Islam namanya.
Berdasarkan
kepada takrifan ini bermakna, tugas pendidikan Islam bukan terletak kepada ibu bapa dan guru agama
sahaja, malah kepada semua orang Islam.
Kalau di rumah, ibu bapa dan keluarga itu yang bertanggungjawab memberi
pendidikan Islam. Manakala di sekolah
pula, semua guru yang beragama Islam adalah bertanggungjawab memberi pendidikan
Islam kepada semua murid Islam. Guru
agama atau istilah sekarang guru Pendidikan Islam, lebih luas tanggungjawabnya;
pertama menyampaikan pengetahuan Islam dan kemudian mendidik dengan pendidikan
Islam. Masyarakat pula bertanggungjawab
untuk menghidupkan budaya Islam di dalam masyarakat. Ini termasuklah percakapan, pergaulan,
permainan, urusan harian dalam hal ekonomi, politik, sosial, teknikal dan
sebagainya.
Kalau di sekolah
guru mengajar supaya pelajar melakukan sesuatu yang baik atau sesuatu suruhan
Tuhan, seperti solat, tutup aurat dan sebagainya, manakala dirumah ibu bapa
tidak menunaikan solat dan tidak menutup aurat menurut kehendak Islam, bermakna
ibu bapa tidak mendidik anaknya dengan pendidikan Islam dalam aspek tersebut. Sama juga
dengan sekolah. Jika guru Pendidikan Islam mengajar dan
mendidik pelajarnya dengan perkara-perkara yang dituntut oleh Islam seperti di
atas, tetapi guru lain tidak melakukannya, bermakna guru Islam tidak mendidik
pelajarnya yang beragama Islam supaya menghayati ajaran Islam. Ini bermakna, guru tersebut tidak mendidik
pelajarnya dengan pendidikan Islam.
Demikian jugalah
dengan masyarakat. Jika masyarakat tidak
membanteras segala perkara yang bertentangan dengan ajaran Islam yang wujud
dalam masyarakat tersebut, sebaliknya menganjurkannya pula, bermakna masyarakat
tersebut tidak mendidik anak buahnya dengan pendidikan Islam, malah sebaliknya
meruntuhkan Islam. Kalau inilah yang
berlaku, pendidikan Islam yang dilakukan oleh guru Agama dalam bilik kelas itu
tidak akan berkesan. Dengan demikian,
jika berlaku sesuatu yang tidak diingini dalam masyarakat, seperti keruntuhan
akhlak dan sebagainya, maka jangan disalahkan orang lain. Kerana itu yang dikehendakai oleh ibu bapa,
guru dan masyarakat. Setiap orang akan menegakkan benang basahnya dengan
mengatakan ia betul dan orang lain yang salah seperti cerita bangau oh bangau,
tetapi kita lupa, bahawa setiap orang akan menjawabnya di hadapan Tuhan.
Malah, dalam
pengajaran Pendidikan Islam itu sendiri, jika guru tidak hati-hati, guru hanya
menyampaikan maklumat atau pengetahuan Islam sahaja, guru berkenaan tidak
mendidik dengan pendidikan Islam.
Misalnya, guru Pendidikan Islam atau guru agama mengajar pelajarnya
dengan tajuk Syarat Wajib Jumaat. Di
akhir pelajaran pelajarnya dapat menyebut syarat-syarat tersebut, maka ini baru
tercapai objektif pelajaran. Guru
tersebut, sebenarnya belum lagi mendidik pelajarnya dengan pendidikan
Islam. Pendidikan itu ialah kata-kata
nasihat supaya pelajar menghayati ajaran Islam.
Kalau dalam tajuk
ini, guru hendaklah menasihati pelajarnya (lelaki) supaya menunaikan solat
Jumaat. Lebih baik lagi, guru mengiringi
pelajar ke masjid. Dan sebelum ke
masjid, guru patut juga mendidik
pelajarnya. Iaitu menasihatkan pelajar
supaya jangan bising di masjid. Duduk
dengan tertib di dalam masjid dan membaca apa-apa zikir yang baik, seperti
membaca al-Quran atau selawat ke atas nabi.
Jika ini berlaku, maka barulah dikatakan mendidik dengan pendidikan
Islam. Demikianlah seterusnya dalam
tajuk-tajuk yang lain, atau pun pelajaran-pelajaran yang lain yang bukan mata
pelajaran agama. Bagi guru yang kreatif,
ia boleh memasukkan pendidikan Islam melalui pelajarannya.
Ini bermakna,
bahawa pendidikan Islam itu mempunyai dua maksud. Pertama bermaksud pendidikan Islam khusus.
Iaitu yang merangkumi pelajaran tradisional seperti aqidah, ibadah, tafsir,
sejarah, hadis dan sebagainya. Kedua
ialah pendidikan Islam umum, yang mana ia merangkumi semua kata-kata nasihat
yang boleh membangunkan potensi yang ada pada setiap pelajar melalui semua mata
pelajaran sekolah serta melewati segala aspek hidup. Inilah yang dikatakan pendidikan Islam
No comments:
Post a Comment