Monday 14 September 2015

Islam di Sabah




1) Islam dipercayai menghampiri negeri Sabah pada abad ke-10 dan bertapak di Sabah selewat-lewatnya pada tahun-tahun akhir 1300 berdasarkan bukti bertulis jawi dalam bahasa Idahan di Kg Sapagaya, Lahad Datu.

2) Sekitar abad ke-16, apabila negeri ini dibahagi kepada 3 zon, perkembangan Islam semakin meluas. Kawasan pantai di antara Pandasan hingga ke Kimanis di bawah kuasa de facto kesultanan Islam di Brunei; kawasan pantai dari Teluk Marudu hingga ke Sungai Sibuga di bawah kekuasaan Islam kesultanan Sulu; sementara bakinya sebagai kawasan bebas, iaitu kawasan pantai dari Pandasan ke Teluk Marudu di bawah kekuasaan pembesar-pembesar Islam yang bergelar Syerif.
Hanya kawasan pedalaman dikuasai sendiri oleh beberapa suku kaum pribumi yang bukan Islam.

3) Sepanjang persisiran Pantai Barat didiami oleh suku kaum yang beragama Islam. Suku kaum Brunei dan Kadayan di Labuan, Sipitang, Weston, Beaufort, Kuala Penyu, Menumbuk, Membakut, Bongawan, Kimanis hingga ke Papar, Sementara suku kaum Bajau menetap di Papar, kawang, Kinarut, Putatan, Tanjung Aru, Inanam, Menggatal, Mengkabong, Tuaran hingga ke Kota Belud dan kawasan utara Kudat dan Pulau Banggi.

4) Pada masa awal perkembangannya, agama Islam sukar mempengaruhi suku kaum lain di Sabah seperti Kadazan, Dusun, Murut, Rungus dan lain-lain yang tidak suka hidup dengan pergantungan kepada pencarian hasil laut.
Mereka banyak berada di kawasan daratan untuk mudah bercucuk tanam dan mengamalkan hidup sebagai pagan atau animisme. Kehidupan mereka yang berpindah randah di kawasan bukit bukau dan gunung ganang, terpisah dari kawasan yang sering dikunjungi oleh para muballigh Islam.




5) Di antara pejuang-pejuang dan pahlawan Islam yang menentang Inggeris ialah Pengiran Usop yang dibunuh di Sungai Kimanis; Syerif Usman di Teluk Marudu, Haji Saman (1846) di Sungai Membakut, Datu Baginda Puteh (1879) di Sandakan, Paduka Mat Salleh yang gugur dalam pertempuran di Tambunan pada 31 Januari 1900.

6) Sebelum perang dunia kedua, Putatan menjadi tempat penghijrahan ulama dari Kelantan pada tahun 1910an iaitu Haji Yaakub bin Haji Ali bin Abdullah. Sebelum ke Sabah, beliau mengembara dan berdakwah di Melaka, Selangor, Kedah dan Brunei.

7) Haji Yaakub menetap berhampiran dengan Masjid Putatan dan beliau diangkat sebagai guru agama dan imam Putatan. Selepas berkhidmat sebagai 5 tahun sebagai imam Putatan, beliau dilantik sebagai Imam Jesselton pada 1920 dan dalam masa yang sama terus berkhidmat sebagai imam di Putatan buat beberapa tahun.

8) Pada 12 Oktober 1934, Haji Yaakub mengangkat anaknya Haji Mohd Suhaili sebagai imam Putatan ketika Haji Suhaili baru berumur 16 tahun sehingga 11 Februari 1940 dan berhijrah ke Jesselton menjadi imam di sana menggantikan bapanya yang menghidap penyakit lumpuh.
Haji Yaakub meninggal dunia semasa berumur 100 tahun pada tahun 1941 dan dikebumikan di tanah perkuburan batu 2 1/2 jalan Tuaran.

9) Haji Suhaili mengasaskan penubuhan Khairat Jumaat Muslimin pada tahun 1947 bagi membangkitkan kesedaran berpersatuan setelah berkuburnya Parti Kebangsaan Melayu dan Barisan Pemuda di Sabah. Walaupun khidmat dakwahnya semakin meluas di Pantai Barat, penduduk Putatan terus mendapat khidmat bimbingan beliau. Haji Suhaili meletak jawatan sebagai imam Jesselton pada 21 Januari 1951 dan berhijrah ke Kuala Belait Brunei serta bertugas sebagai Naib Kadhi.

10) Haji Suhaili kembali ke Putatan setelah meletak jawatan pada 30 November 1951. Beliau bergerak dari daerah ke daerah untuk berdakwah sehingga beliau berhijrah pada 28 Februari 1954 ke Labuan. Bimbang dakwah Haji Suhaili semakin meluas, kerajaan Inggeris menghalau beliau keluar dari Sabah dengan notis 24 jam. Haji Suhaili kembali ke Brunei sehingga kembali ke Rahmatullah pada 4 Februari 1985.

11) Kerja dakwah diteruskan oleh Awang Abd Latif bin Awang Mohd Taha yang merupakan menantu kepada Haji Yaakub. Beliau menjadi imam di Putatan pada 1 April 1934 selama 6 1/2 bulan sebelum berhijrah ke Tuaran dan menjadi imam daerah di sana.

12) Nama-nama lain yang tercatat sebagai pendakwah di Putatan ialah Haji Ahmad Mus bin Hj Ismail (imam Putatan pada 40an-50an), Haji Milin Jeratil (imam pada tahun 50an), Haji Jilun, Haji Said Hj Ismail, Haji Satur, Haji Muhammad Said Hashim, haji Abd Sani Basi, Haji Mahali Abu Bakar, Haji Suin Abdul dan lain-lain.

13) Perjuangan Imam Yaakub dan Imam Suhaili diteruskan lagi oleh Hj Awang Sahari Abd Latif, cucu kepada Haji Yaakub dan anak saudara kepada Haji Suhaili. Hubungan yang rapat dengan Haji Suhaili menyebabkan semangat perjuangan Islam terus membara dalam diri Haji Awang Sahari khususnya bagi menubuhkan persatuan Islam.

14) Haji Awang Sahari bersama beberapa tokoh masyarakat menubuhkan Persatuan Islam Putatan (PIP) pada 1959, di samping kewujudan Persatuan Islam Sabah (PIS) dan Persatuan Islam Tawau (PIT). Antara kejayaan PIP ialah meubuhkan sebuah sekolah agama iaitu Madrasah Tahzibiah yang dirasmikan oleh Tun Datu Mustapha pada 1965.

15) Bermula 1961, usaha-usaha menggabungkan ketiga-tiga persatuan ini dilakukan. Akhirnya setelah wakil-wakil PIS, PIP dan PIT diundang ke rumah Tun Datu Mustapha di Tanjung Aru pada awal 1969, mereka bersepakat untuk membubarkan persatuan mereka bagi membentuk persatuan Islam yang baru.

16) Jawatankuasa penaja dibentuk, kongres diadakan dan berjaya menubuhkan Pertubuhan Islam Seluruh Sabah (USIA) pada ogos 1969. Tun Datu Mustapha sebagai Yang Dipertua dan terdapat wakil-wakil PIP, PIS dan PIT di dalamnya. Era perjuangan Islam lebih tegas dan meluas sehingga terisytihar Islam sebagai agama rasmi negeri Sabah.

1 comment:

  1. How do I play at a casino without downloading the app?
    I'll 경상북도 출장샵 try the new 제주도 출장안마 casino app, titanium tube for a long time, before playing it. But, the 양산 출장안마 casino app won't let me try 용인 출장샵 it. I know that if you like playing a good

    ReplyDelete

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...